Sunday, June 21, 2020

Lensa Kreatif Kritis Yazlina Saduri : Dia Lebih Mengerti dan Cinta Jangan Kau Pergi



Sinopsis
Cinta Jangan Kau Pergi



“ENTAHLAH MARIA... sampai bilalah aku mahu menjadi seperti ini? Sampai bilalah aku mahu terperangkap dalam tubuh seorang lelaki yang aku cipta sendiri? Aku dihina kerana fizikal aku. Bahkan kau tahu bukan, orang yang aku sayangi sanggup mencerca dan menjatuhkan air muka aku sampai begitu sekali.”

Sudah bertahun-tahun Maria cuba mengubah Zulfa, namun nyata masih lagi gagal. Zulfa tidak akan berubah dengan paksaan. Dia yakin suatu masa nanti, gadis itu akan menjadi gadis yang sejati. Akan berubah dengan kehendaknya sendiri.

Sungguh cantik papan di Jawa
Disulam dengan daun kencana
Sungguh enak fitnah dibawa
Diri menerima jiwa merana

Disulam dengan daun kencana
Papan di Jawa dibuat peti
Diri menerima jiwa merana
Sampai mati tetap diingati


Sinopsis
Dia Lebih Mengerti
Sesekali bukan tidak diikut akal warasnya, sesekali bukan tidak difikirkan rasa cinta yang masih ada. Namun kenangan silam, cukup membuat seorang Umairah terpaksa mengalah. Diperendah dan dihina, dinista dan hanya mampu mendapat sisa. Umairah akur kehendak takdir. Cinta itu bukan untuknya.


Tetapi lelaki yang bernama Syed Abid tidak mengerti. Terlalu besarkah kesalahannya sehingga Umairah marah? Terlalu banyakkah dosanya sehingga Umairah mengalah. Bagi lelaki ini, cinta yang ditemuinya kali ini, cinta sejati. Bagaimana Umairah marah, bagaimana Umairah mengalah. Tidak semudah itu dia akan menyerah kalah. Cintanya hanya untuk Umairah. Tiada siapa yang boleh menegah. Kerana bagi Syed Abid, cinta yang ada dihatinya, hanya dia sahaja yang mengerti.

No photo description available.


Lensa Kritis Kreatif Yazlina Saduri

Saya baca back to back: Mula-mula Dia Lebih Mengerti, diikuti dengan Cinta Jangan Kau Pergi. Ada persamaan dalam dua cerita ini walaupun tidak berkait.

Qasim dicintai oleh Zulfa semasa belajar di Australia, Qasim Si mangkuk hayun dengan bongkak menghiris hati Zulfa dan sesuka hati memfitnah Zulfa dengan tuduhan keji. Dalam buku Dia Lebih Mengerti, Syed Abid mencintai Amy tetapi dia dilukai perempuan tak cukup kain tersebut dan tak cukup ilmu tu akibat motivasi songsang daripada ibunya. Apalah punya 'blur' muka Syed Abid agaknya semasa ditempelak oleh Amy kali terakhir mereka bersemuka di kampus.

Dalam cerita Cinta Jangan Kau Pergi, Zulfa yang membawa diri ke Cameron Highlands seronok bekerja dengan Dato' Lim dan bekas isterinya Datin Rosie. Tugasnya, Zulfa sendiri pun bila ditanya tidak pasti apa kerjanya. Yang pasti dia gembira dan sentiasa rasa cukup dan teruja dikelilingi haruman dan warna-warna bunga. Pendapatan pun boleh tahan besar. Jauh beza dengan Qasim yang beriya-iya menjalankan jarum dengan boss untuk pastikan dia dapat naik pangkat. Kecoh saja lebih si Qasim tu. Mulut bukan main puaka. Sesuai sangat lah dia dengan Nabila.

Tragedi kemalangan yang meragut nyawa isteri dan anak-anak Doktor Sofyan .... Pengajaran besar untuk kita ; jika kasih mesti nyatakan, jika sayang mesti tunjukkan. Menyesal kemudian tiada gunanya. Zulfa akhirnya jadi rebutan adik beradik Qasim dan Doktor Sufyan. Saya sangat suka pilihan Zulfa. Dan saya suka ilmu tentang penanaman bunga Ros yang dibentangkan oleh penulis. Anda pernah dengar atau kenal pokok 'Rose hip'?

Persamaan dalam buku-buku Cinta Jangan Kau Pergi dan Dia Lebih Mengerti tulisan Norhayati Berahim,
- ada cerita antara adik beradik yang berkrisis dalam kedua-dua buku
- ada cerita lelaki / wanita mencintai seorang lelaki / wanita dan dikecewakan
- ada cerita watak utama lelaki / wanita belajar di luar negara dan pabila balik ke Malaysia bina semula kekuatan dan perolehi semula kebahagiaan yang hilang
- watak utama wanita terlibat dalam projek penanaman berskala besar; Zulfa dengan ladang bunga ros di Cameron Highlands dan Umairah dengan ladang anggur di Johor

Kesudahan, 
Dia lebih Mengerti
Syed Abid jatuh Cinta dengan Umairah adik Amy. Comel la Si Syed Abid ni pura-pura poyo dan poket nipis jadi Mat Despatch tinggal berkongsi di rumah sewa, sebab nak uji hati Umairah. Nekad sungguh dia ikut Umairah dari airport selepas tu buat keputusan terus nak jalankan projek. Pengakhirannya manis buat Syed Abid namun agak tragis untuk Umairah yang kehilangan ibunya. Watak ayah Umairah, antara yang paling lemah dalam ramai watak-watak ciptaan Norhayati Berahim melalui novel-novelnya.

Dia Lebih Mengerti
Adik beradik Doktor Sufyan dan Qasim bertelagah juga walaupun sebelumnya regu kumpul duit banyak-banyak hasil didikan ibu dan ayah di kampung. Kedua mereka jatuh cinta tanpa dirancang dengan Zulfa. Saya amat suka menerima ilmu dan perkongsian keseronokan yang dibutirkan oleh penulis tentang projek penanaman anggur secara besar-besaran. Bayangkan saja berpuluh ribu pokok dengan buah anggur bergantungan dari dahan, alangkah indahnya.




No comments:

Post a Comment

Ranjau rasa keliru Yazlina Saduri Mengenai Buku Budiman tulisan Regina Ibrahim

Ranjau rasa keliru Yazlina Saduri Mengenai Buku Budiman tulisan Regina Ibrahim Semalam saya baru selesai membaca buku Kitab Riwayat - Men...