Tuesday, October 31, 2017

Harga Sebuah Maruah Azizi Haji Abdullah



Korang jemu asyik baca novel cinta lovey-dovey? Sesekali ingin rasa asah minda dengan baca buku bertema kehidupan orang kampung yang tinggalnya nun di utara tanah Semenanjung yang hidup dan matinya biar bergelumang, berkasih sayang dengan padi? Harga sebuah maruah karya Azizi Haji Abdullah pasti salah sebuah buku yang saya tak reti nak baca sambil lewa, entah kenapa skill skimming saya tak lut dengan buku ni.Bila dah mencecah separuh buku, lagilah... hampir setiap baris menggendong hiba, mendukung geram, menatang sayu. Kata Mak Cak kepada Hijrah pemuda 30an yang dikata orang 'bodoh-bodoh alang, lembik lempam dan kalap itu, "Ini sawah pusaka datuk nenek kita. Mak pinta satu, jangan hendaknya engkau menjadi orang yang terlampau kurang ajar berbicara dengan orang lain, tetapi lakukan kurang ajar jika maruah engkau, maruah sawah kita dicabar".

Kenapa kejamnya kita yang bergelar manusia berakal ini? Bongkak dan buta hati. Padi yang sudah tunduk masak tunggu masa nak dituai juga ingin disodok? Ke mana peri kemanusiaan kita? Habis pokok tebu, rumpun pisang, pegaga yang segar bugar di ranapnya. Apalah celaka si bangsat yang berselindung di sebalik undang-undang (Akta Pengambilan Tanah), kononnya nak buat projek untuk manfaat awam, sebenarnya bukankah poket penuh, untung besar yang jadi tonggak perbuatannya? Orang kampung yang gelap mata dek disogok duit dua tiga ribu serelung? "...buat apa kita susah-susah, ini keputusan pihak berkuasa". Haiii, sedihnya. Dijanji bayar pendahuluan RM5000, sampai tok imam yang dah umur tujuh puluhan tu pun bertukar rentak, ubah fikiran, tak mahu dah mempertahankan sawahnya. Mungkin sudah letih menentang, tak mahu terus dipanggil pembangkang yang menyekat 'pembanggunan'. Buat kata Hijrah, "Tuan-tuan tahukah, RM5000 hangus di pasar malam begitu saja. Tapi sawah tuan-tuan, mana nak cari?".

Di sebalik seriusnya kisah kehidupan insan-insan teraniaya yang diungkap Azizi Haji Abdullah melalui buku Harga Sebuah Maruah, ada begitu banyak pengajaran, ilmu petani yang entah tak tahu di mana lagi boleh kita perolehi. Sungguh saya tidak pasti betul atau fiksyen kisah Tok Kassim tentang kalendar piama yang mana orang dulu-dulu buat sawah bendang, roh sawah, nama-nama bintang yang disesuaikan dengan nama tahun; Cut, Celu, Kan, Thok, Merong, Mesing, Memih, Memia, Wok, Reka, Cor, Kun. ... bahasa yang dari satu tamadun yang pernah bertapak di Utara Semenanjung dan Thailand, "... dari 24 hari bulan 10 hingga 23 hari bulan 11, berbetulan bulan Akrab ialah bulan 12 piama bendang. Bulan ini mula bunyi burung ruak-ruak, alamat sudah akhir piama bendang", ...15 hari bulan 5 dan 15 hari bulan 10, ada atau tidak apabila matahari tegak di atas kepala, ketika rembang,... bayang kau resap dalam badan". Betul atau cuma dongeng nak sedapkan cerita? Penulis mungkin yang paling sesuai menjawab. Adalah juga sedikit rimas bila ayat-ayat atau description yang serupa diulang-ulang sepanjang cerita, namun itu isu ringan teknikal dan mungkin juga sengapa dibuat begitu oleh Azizi Haji Abdullah. Biar menyerap dalam jiwa pembaca.  Apapun, saya fikir buku ini; kandungannya, semangatnya, implementasinya terbaek.

Harga sebuah maruah sangat elok dibaca generasi muda apatah lagi yang tidak kenal rupa sawah bendang, bau selut, semangat padi.

No comments:

Post a Comment

Ranjau rasa keliru Yazlina Saduri Mengenai Buku Budiman tulisan Regina Ibrahim

Ranjau rasa keliru Yazlina Saduri Mengenai Buku Budiman tulisan Regina Ibrahim Semalam saya baru selesai membaca buku Kitab Riwayat - Men...