Saturday, December 12, 2015

Kasih Seharum Manisah


Kasih Seharum Manisah (KSM)


Ini adalah novel cinta tarbiyah kedua saya baca dalam bulan ini. Yang pertama Kuseru Namamu Kekasih (KNK). Asas cerita tidak banyak berbeza membuat saya tertanya, adakah kedua cerita ini berkait? Rasa macam nak buat carian Google tapi setakat ini belum dapat cari masa untuk itu. Mungkin lain kali. Kedua-dua novel ini mengenengahkan mahasiswa mahasiswi yang sedang belajar di luar negara sebagai watak utama. Cerita juga diselang-selikan dengan senario di luar negara dan di Malaysia. Rayyan dan rakan-rakannya dalam KNK di Sydney dan Manisah dalam KSM serta saudara kembar, kekasih yang didambakan dan rakan-rakannya di Glasgow.

Apabila saya mengambil keputusan membaca KSM, langsung saya tidak menjangkakan jalan cerita yang begitu sama. Selepas beberapa mukasurat membaca saya fikir saya sudah boleh mengagak apa kesudahan cerita KSM, saya silap. Penyudahan cerita agak diluar jangkaan saya. Kredit untuk A. Razak Adam yang agak berjaya mengalun watak-watak serta jalan cerita yang agak berbelit "in an interesting way".

Berbanding Rayyan dalam KNK, Manisah lebih "real" wataknya. Seorang remaja yang mempunyai naluri wanita, mempunyai gerak hati yang akhirnya menerangkan mengapa dia bersikap dingin atau tidak terdorong untuk membalas cinta Kelvin walaupun setelah mereka lama menjalin hubungan cinta sehingga bertunang. Beliau juga ada rasa cemburu, pandai pula mencari jalan untuk merebut hati lelaki yang dicintainya iaitu Soefjan.

Oh ya, menyebut nama Soefjan, beliau yang dimulakan dengan "Kepada Manisah Kekasih Allah...." juga membuat saya lebih kuat dengan berprasangka yang KSM dan KNK ditulis dengan tinta yang sama. Mungkin juga hanya kebetulan.

Apapun, nukilan A. Razak Adam bagi saya pada mulanya agak hambar.....KNK lebih menarik. Saya juga agak geram dengan sikap tidak adil Manisah terhadap Kelvin sebelum mengetahui yang mereka sebenarnya adik-beradik. Kedua-dua novel ini memasukkan cerita rakan-rakan watak utama yang tertarik dengan cara dan pegangan orang Islam dan kemudian memeluk Islam. KSM melihat Soefjan menikahi rakan sekuliah gadis Inggeris lebih kepada memenuhi hasratnya berjuang dan berkorban ke jalan yang diredhai Allah. Rayyan dalam KNK juga, walaupun tidak dinyatakan secara jelas, akhirnya akan bersama dengan Mark, rakyat Australia yang juga telah terbuka hati untuk memeluk Islam.

Buku ini juga saya tidak menyesal baca. Agak banyak kesilapan dan kekeliruan yang saya jumpa ketika membaca buku ini, contohnya pada awalnya rakan sekolah Manisah bernama Parameswari tetapi kemudian menjadi Maheswari. Tetapi agaknya itu kesilapan kecil dan biasa saja. Harap buku ketiga nanti janganlah punyai jalan cerita yang terlalu sama. Rating saya untuk Kasih Seharum Manisah 4/5.

No comments:

Post a Comment

Ranjau rasa keliru Yazlina Saduri Mengenai Buku Budiman tulisan Regina Ibrahim

Ranjau rasa keliru Yazlina Saduri Mengenai Buku Budiman tulisan Regina Ibrahim Semalam saya baru selesai membaca buku Kitab Riwayat - Men...